Thursday, July 16, 2015

Wabak akibat bermain gajet!

Teks: Natrah Mohamed
Sumber: drafiqrahim.com

Artikel ini saya petik dari blog Dr Afiq Rahim, seorang doktor perubatan yang saya kenali sejak tulisannya tentang banjir di Kelantan tersebar dan menyucuk-nyucuk hati saya. Ha, menyucuk-nyucuk gitu. hehehe :)

Pernahkah anda bertanya anak anda, yang mana lebih seronok, bersiar-siar di taman atau bermain permainan komputer?

Ya para ibubapa sekalian. Generasi Z selepas ini sedang menerima wabak penyakit baru berkaitan dengan teknologi.

Apakah wabak itu?

Kita bersama En. Jonathan Goh seorang ahli fisioterapi yang kini mengetuai unit fisioterapi di sebuah klinik swasta untuk menjelaskan apakah wabak yang sedang menimpa generasi Z pada masa kini.

=================================

Suatu wabak sedang melanda negara kita. Suatu penyakit yang mula pada usia muda dan ia melibatkan perkembangan tulang belakang serta berpotensi untuk mengakibatkan masalah yang kekal ketika usia dewasa. Dan apa yang saya maksudkan bukanlah polio mahupun SARS. Saya sedang memperkatakan tentang perihal penyakit yang ramai ibu bapa pada zaman moden ini terlepas pandang namun boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada anak-anak kita.



Berlalu sudah hari-hari bila mana kita membenarkan anak-anak kita berguling-guling di taman, menangkap belalang atau berlari berkeliaran di keliling kawasan kejiranan. Pernahkah anda melihat kanak-kanak bermain di sekitar kawasan kejiranan anda baru-baru ini?

Bilakah kali terakhir anda melihat anak-anak anda main aci sorok di ruang tamu?

Jika anda sedang membaca artikel ini, tak kira di rumah atau di kedai kopi, cuba perhatikan scenario di sekeliling anda. Jangan terkejut jika anda melihat betapa ramai kanak-kanak yang terbongkok-bongkok menghadap telefon semasa makan atau berlingkar di atas sofa dengan tablet atau menguit-nguit komputer riba di katil, khayal dalam dunia mereka sendiri.

Secara purata, mereka menghabiskan lebih kurang 2-8 jam dalam postur yang abnormal yang boleh menyebabkan perubahan separa kekal pada bahagian tulang belakang jika terus dibiarkan bertahun-tahun.

Apa yang kita lihat sekarang bukan sekadar sakit belakang selepas bekerja, namun masalah yang lebih serius seperti kehilangan lengkungan tulang belakang yang akan lebih sukar diperbetulkan jika dibiar terlalu lama.

Kajian telah dijalankan di Poland untuk membandingkan postur kanak-kanak dari persekitaran bandar dengan teman sebaya di kampung dan didapati kanak-kanak di kawasan bandar menderita postur tubuh tak simetri (tak seimbang) khususnya pada bahagian batang tubuh dan pinggul yang biasanya dikaitkan dengan permulaan skoliosis peringkat awal. Telah dirumuskan posisi statik yang berpanjangan menyumbang kepada bentuk badan asimetri sementara kanak-kanak kampung tidak menghadapi masalah ini kerana mereka melakukan lebih banyak pergerakan, melalui aktiviti dan gaya hidup mereka di luar bandar.

Susan Pitman, Pegawai Kaji Selidik Kanan daripada Pertubuhan Sokongan Kanak-kanak Australia (Australian Child Support Organization) pernah menulis dengan panjang lebar tentang impak teknologi media ke atas perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak. Rumusannya menyatakan bahawa kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa bersama teknologi media sekaligus menjadi tidak aktif boleh memberi impak negatif kepada perkembangan bahasa kanak-kanak, tabiat makan, penyalah gunaan bahan (dadah) dan tentunya perkembangan dan kesihatan fizikal.



Dalam satu laporan The Star Online dan BBC News, telah dilaporkan bahawa ramai anak-anak Asia menyangka dengan memperoleh keputusan peperiksaan yang baik itu bermakna mereka boleh mencapai kehidupan yang berjaya pada masa hadapan. Mungkin ada kebenaran dalam sangkaan itu tetapi ini bermakna mereka akan mengabaikan pendidikan jasmani dan perkembangan dalam kehidupan seorang kanak-kanak.

Di Malaysia, pelajar menengah rendah dan menengah atas menghabiskan purata 30 jam seminggu di sekolah dan hanya satu sesi Pendidikan Jasmani diadakan dalam minggu tersebut. Selepas sekolah, kebanyakan mereka akan mengikuti pelbagai kelas tuisyen yang berlarutan hingga ke malam dan pada masa lapang pula, mereka akan menghadap televisyen atau komputer untuk melepaskan stres/tekanan. Ini bermakna,kebanyakan masa seorang pelajar biasa di Malaysia dihabiskan dengan duduk. Dan ini tidak termasuk lagi tentang kebanyakan orang dewasa di Malaysia rata-ratanya mengamalkan gaya hidup yang tidak cergas. Tidak hairanlah kes sakit pinggang dan sakit kepala semakin meningkat naik!

John F. Kennedy pernah berkata,




“Kecergasan fizikal itu bukan semata-mata kunci kesihatan tubuh badan; ianya asas aktiviti intelek yang dinamik dan kreatif.”



Ini sangat benar dalam kehidupan masyarakat yang moden dan berdaya saing pada masa kini, yang menuntut kekuatan akal lebih daripada kegagahan jasmani. Dan kita pula menghadapi masalah generasi kanak-kanak baharu yang menderita kekurangan fizikal.

Jadi, bangunlah! Tinggalkan tablet dan telefon pintar dan keluarlah, berlari atau berjalan di taman berhampiran bersama rakan atau keluarga. Nikmati masa muda anda dan keindahan alam yang terbentang, secara langsung dan bukan sekadar menontonnya pada skrin/layar semata-mata.



=======================

En. Jonathan Goh seorang ahli fisioterapi dan bekerja di Sawarak buat masa ini. Beliau mengetuai unit fisioterapi di sebuah klinik swasta dan sangat gigih berusaha memperbetul gaya hidup demi mencegah penyakit seperti skoliosis dan osteoartritis. Artikel ini diterjemah dari artikel asal http://www.mmgazette.com/kids-get-off-the-couch-get-outside-mr-jonathan-goh/ oleh Encik Azizul Ismie Mohd Puad.

Rujukan:
Annals of Agricultural and Environmental Medicine 2012, Vol 19, No 4, 846-850 by Justyna Drzał-Grabiec1, Sławomir Snela1,2, Institute of Physiotherapy, University of Rzeszów, Poland
http://www.ozchild.org.au/userfiles/docs/ozchild/researchpapers/ImpactOfElectronicMedia.pdf
The Star Online, Friday September 7, 2012 “Malaysian parents focus more on education than recreation” by Ben Ibrahim

BBC News Business, 22nd October 2013, Asia’s parents suffering ‘education fever’ By Yojana Sharm

Sumber: Anak-Anak, Bangun dan Keluar Bermain! – Jonathan Goh.


Jom kita ubah, usah biarkan anak2 leka dengan gajet-gajet di tangan mereka. Biarkan mereka bermain permainan fizikal. Biar badan mereka aktif sentiasa. Sel-sel otak berhubung dan berkembang dengan pesat sambil mereka bermain tersebut.

Natrah Mohamed
Ibu anak 2 orang,
Pengedar Shaklee Bandar Baru Bangi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KENALI SHAKLEE

 photo KENALISHAKLEE_zpsjhrkr5w4.jpg
 photo PRODUKSHAKLEE_zpslwr9bj4b.jpg
 photo CADANGANVITAMIN_zps9fostmqa.jpg
 photo SERTAIKELUARGAKAMI_zpsnwpjxnay.jpg
 photo PENGEDARSHAKLEE_zpsu3sbu1d3.jpg
 photo CAWANGAN SHAKLEE_zpsbm1dxcgx.jpg

Pengunjung

Designed by NH Design