Wednesday, May 6, 2015

Sakit itu tanda Allah sayang

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

Sakit itu satu nikmat

Kadangkala dalam perjalanan kehidupan ini, manusia jatuh sakit. Allah ujinya dengan kesakitan.
Kadangkala manusia tidak perasan, Allah sedang memberikan kepadaNya titik perhentian untuk bermuhasabah. Sungguh sebenarnya, sakit itu nikmat.

Kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia. Dinamakan manusia kerana fitrah manusia adalah pelupa. Ada antara kita berilmu luas, ada pula antara kita harta melaut, ada pula kita kebolehan tak tertanding, dan 1001 nikmat lagi. Tetapi dengan sakit, semuanya itu seakan tidak berguna langsung. Yang kita inginkan adalah sihat.

Ketika itu kita akan tersedar. Kalau ilmu, harta, kebolehan dan kebanyakan nikmat material lain kadangkala boleh menjauhkan kita daripada Allah SWT apabila disertai bongkak, angkuh, riya’ dan sebagainya, sakit mengundang peringatan.

Ada pepatah berkata:
"Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan"

Sakit, mampu menjadikan kita beringat. Seakan-akan bila kita sakit, Allah SWT berbisik kepada kita:
"Sesungguhnya Aku boleh menarik nikmatKu bila-bila masa sahaja"

Allah SWT berfirman:
"Demi Sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar"
(Al-Baqarah: 155)

 "Dan patutkah mereka tidak mahu memerhatikan, bahawa mereka diuji, pada setiap tahun, sekali atau dua kali(paling kurang), kemudian mereka tetap juga tidak bertaubat dan tidak juga mereka mahu mengingat?"
(At-Taubah: 126)

Tiadalah sakit-sakit ini menimpa kita, tiadalah bencana menyentuh kita, melainkan ada hikmahnya. Allah ingin kita kembali mengingati-Nya, bergerak ke arah-Nya, muhasabah kembali kehidupan kita. Sakit adalah petanda bahawa kita adalah manusia. Manusia yang lemah. Sebagai yang lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita. Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa pada hakikatnya, kita langsung tidak patut mendongak (menengok ke atas) bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT.

Jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa, dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan. Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah pada hakikatnya sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan? Tetapi bagaimana kita melayan sakit kita? Bagaimana kita berhadapan dengannya?

Allah SWT berfirman:
"Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu"
(Asy-Syura: 30)

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk"
(Al-Baqarah: 155-157)

Justeru, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah ditempuhi dengan sabar, redha  dan bertawakal kepada-Nya. Terus menerus berusaha mencari penawar dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan rahmat agar keadaan penyakit yang dihadapi akan lebih baik daripada sebelum ini.

InsyaAllah. Artikel ini saya ambil dari group whatsApp. Moga bermanfaat kepada semua.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KENALI SHAKLEE

 photo KENALISHAKLEE_zpsjhrkr5w4.jpg
 photo PRODUKSHAKLEE_zpslwr9bj4b.jpg
 photo CADANGANVITAMIN_zps9fostmqa.jpg
 photo SERTAIKELUARGAKAMI_zpsnwpjxnay.jpg
 photo PENGEDARSHAKLEE_zpsu3sbu1d3.jpg
 photo CAWANGAN SHAKLEE_zpsbm1dxcgx.jpg

Pengunjung

Designed by NH Design