Friday, April 11, 2014

22 Waktu Mustajab Doa

Teks: Natrah Mohamed

Berdoa sudah menjadi rutin dan amalan yang sangat tidak asing lagi. Sejak kecil diajar dan diasuh untuk berdoa. Doa masa zaman kecil dulu yang paling tidak boleh diabaikan adalah doa makan. Hahaha... 
Sekarang sudah ada anak, doa pertama yang saya ajar kepada anak tentulah doa makan. Doa-doa yang lain ajar juga, namun rasanya kurang melekat di kepalanya. Mungkin kurang konsisten saya mengajar dan mempraktikkannya bersama-sama. Dalam post yang lain saya akan cerita cara si Ahmad berdoa. Nantikan.
Selain daripada doa amalan harian, kita sangat digalakkan memohon kepada Allah. Minta dan harap kepada Allah. Bagaimana? Dengan berdoa. Ini adalah cara kita berkomunikasi dengan pencipta kita. 
Posting ini cerita tentang waktu-waktu makbul doa. Rujukan daripada buku Ustaz Zahazan Mohamed. Ok, jom kita ulangkaji balik. Hehehe.
Terdapat 22 waktu dimakbulkan do’a.
1. Sewaktu hujan turun.
“Berdo’alah pada waktu mustajab do’a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun” (Hadis Riwayat Abu Daud).
2.Ketika hendak bersolat berdasarkan hadis diatas.
3.Selesai membaca al-Fatihah dalam solat.

4.Selepas mengucapkan ‘Amin’ apabila selesai membaca surah al-Fatihah.
“Apabila imam mengatakan ‘Amin’, maka ucapkanlah ‘Amin’. Sesiapa yang mengucapkan ‘Amin’ bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5.Pada waktu tengah malam, terutama sepertiga malam yang terakhir.
“Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : ‘Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6.Waktu di antara azan dan iqamah.
“Tidaklah ditolak do’a di antara azan dan iqamah.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

7.Ketika sujud dalam solat.
“Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdo’a.”
(Hadis Riwayat Muslim).
8.Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir.
9.Selesai solat fardu.
“Ditanya kepada Rasulullah s.a.w., ‘Do’a manakah yang didengar (Allah)’ Sabda baginda, “Do’a itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

10.Sepanjang waktu berpuasa.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Tiga bentuk do’a yang dimustajabkan Allah; do’a ibu bapa terhadap anak, do’a orang yang berpuasa dan do’a orang yang bermusafir.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

11.Malam al-Qadar berlaku pada bulan Ramadhan.
12.Ketika khatam 30 juz al-Qur’an.

13.Sepanjang hari Jumaat itu, dengan harapan bersua dengan waktu mustajab do’a.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya”. (Hadis Riwayat Bukhari).
14.Sepanjang perjalanan semasa bermusafir.
“Tiga bentuk do’a yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; do’a orang yang teraniaya, do’a orang yang bermusafir dan do’a ibu bapa terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

15.Pada hari ‘Arafah iaitu 9 Zulhijjah.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sebaik-baik do’a adalah pada hari ‘Arafah, dan sebaik-baik do’a yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : ‘Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’. (Hadis Riwayat Tirmizi)

16.Ketika berjihad dan sewaktu melaksanakan ibadah haji atau umrah.
“Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdo’a kepada Allah lalu Allah terimanya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

17.Ketika iman meningkat kerana berbuat taat.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “…dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Kuberikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Kulindungi.”
18.Waktu menerima ujian.
“Atau siapakah yang memperkenankan do’a orang yang menderita apabila ia berdo’a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati  nikmat Allah itu (Surah al-Naml ayat 62)
19.Ketika berperang kerana Allah.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Dua jenis do’a yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; do’a sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
20.Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.
Ummu Salamah r.ha. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)
21.Selepas saat kematian seseorang.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi s.a.w. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, “Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata.” lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Janganlah kalian berdo’a untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendo’akan untuk kalian.” Baginda kemudiannya mendo’akan untuk Abu Salamah r.a”.
22. Ketika ayam berkokok.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat.” (Hadis Riwayat Bukhari)    Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berusaha untuk berdo’a diwaktu-waktu mustajab do’a. Semoga dengan ikhtiar kita yang sedikit ini Allah perkenankan do’a-do’a kita dan meletakkan diri kita bersama barisan hamba-hamba-Nya yang di redhai di dunia dan akhirat.
(Dipetik dari buku 101 Do’a daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed.)
Saya cuba untuk perbanyakkan doa di waktu-waktu ini, insyaAllah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KENALI SHAKLEE

 photo KENALISHAKLEE_zpsjhrkr5w4.jpg
 photo PRODUKSHAKLEE_zpslwr9bj4b.jpg
 photo CADANGANVITAMIN_zps9fostmqa.jpg
 photo SERTAIKELUARGAKAMI_zpsnwpjxnay.jpg
 photo PENGEDARSHAKLEE_zpsu3sbu1d3.jpg
 photo CAWANGAN SHAKLEE_zpsbm1dxcgx.jpg

Pengunjung

Designed by NH Design