Monday, March 31, 2014

Panduan memberi makanan awal bayi

Teks: Natrah Mohamed
Gambar: Google Image

Ibu-ibu yang dalam proses memperkenalkan makanan pejal kepada anak, boleh rujuk gambar ini. Yang penting jangan berikan makanan lebih awal daripada 6 bulan. Kasihan usus anak itu. Masih belum matang untuk proses dengan baik. Yang terbaik adalah susu ibu. :)


B

5 Cara Memasak Bubur Nasi untuk Bayi

Anak ke 2 saya, Nafiz masih belum diberi makan. Sekarang usianya hampir 9 bulan. Saya masih berikan susu badan secara eksklusif. Seperti abangnya Nasih yang saya mula berikan makanan pada usia 10 bulan. 

Saya ada sebab mengapa tidak diberikan makanan seawal 6 bulan. Mungkin ada kesempatan lain, saya kongsikan, insyaAllah. Jenguk-jenguk selalu blog ini. :)

Saya mula mencari resepi bubur nasi untuk Nafiz. Ini saya petik dari blog Master Farihah iaitu Surijunior.com

Ok, selamat mencuba kepada ibu-ibu.

Cara 1
Masak nasi seperti biasa.
Ambil nasi mengikut kadar yang bayi makan.
Kisarkan nasi dan beberapa sudu susu menggunakan alat pengisar.
Cairkan dengan menambahkan susu lagi jika perlu.
Tambahkan kepekatan dengan mengurangkan jumlah susu apabila anak sudah semakin selesa makan bubur yang lebih pekat.

Cara 2
Basuh beras mengikut kuantiti bayi makan (atau lebih).
Goreng beras tanpa minyak dengan api kecil sehingga beras keperang-perangan.
Setelah beras sejuk, kisarkan sehingga menjadi serbuk dengan alat pengisar kering.
Simpan dalam bekas kedap udara.
Jika anda ingin memasaknya, ambil mengikut kuantiti bayi makan.
Bancuhkan dengan air dan kacau sehingga rata.
Jerangkan di atas api kecil sehingga bubur mendidih beberapa minit.
Campurkan susu jika ingin bubur nasi bersusu.

Cara 3
Masak nasi seperti biasa.
Apabila nasi hampir kering, cedukkan sedikit nasi (amaun bubur yang bayi makan) dan masukkan ke dalam mangkuk yang tahan panas.
Masukkan air mendidih ke dalam nasi dalam mangkuk tadi.
Letakkan mangkuk tadi di atas nasi sebelum anda menutup periuk nasi dengan penutupnya.
Biarkan sehingga nasi masak dan bubur nasi bayi lembut.
Ini untuk bayi yang besar sedikit.(Petua Shiha)

Cara 4
Beras dicampur dengan air dengan nisbah 1 beras : 4 air.
Masak dengan api kecil sehingga beras kembang dan pecah.

Cara 5
Masak menggunakan slow cooker.

Petikan dari http://www.hamidarshat.com


Sunday, March 30, 2014

8 Risiko Bayi Minum Susu Formula.

Teks: Natrah Mohamed

Sumber: Duniasusuibu.com

Dibandingkan dengan susu ibu, susu formula hilang banyak perkara yang bayi perlukan untuk kuat, sihat dan cerdas. 

Tahukah anda?
Bayi yang minum susu formula mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat:
•Jangkitan telinga
•Cirit-birit / sembelit
•Pneumonia (radang paru-paru)
•SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) – Sindrom Kematian Bayi Mendadak


Kanak-kanak yang diberi susu formula mempunyai risiko yang lebih besar untuk:
• Obesiti (menjadi gemuk)
•Diabetes
•Asma dan alergi
•Kanser

Rujukan:
1.How does formula compare to breastmilk?

Owh, menakutkan juga baca risiko-risiko ini. Alhamdulillah, Nafiz dan Nasih direzekikan membesar dengan susu ibu. Syukur sangat.

Mahu dapatkan produk yang bakal membantu ibu-ibu menyusu dengan bertenaga dan sihat? 

Boleh hubungi saya: Natrah Mohamed: 011-27016822 (SMS/WhatsApp)

Terima kasih sudi membaca :)

40 Tips Bayi Tidur Lena

Teks: Natrah Mohamed

Adakala, bayi kita bermasalah untuk tidur atau sering terjaga. Ada banyak faktor. Ibu bapa boleh kenalpasti masalah dan bersedia dengan jalan penyelesaiannya. Mungkin senarai di bawah boleh membantu. 


1 . Selsema tidak mengira waktu dan usia, malah bayi begitu mudah dijangkiti selsema. Sukar untuk dia tidur lena malam dan meragam akibat kesukaran untuk bernafas. Cuba beri kelegaan dengan meletakkan balm pada bahagian yang tidak selesa.

2 . Ruam adalah salah satu masalah kulit yang dihadapi oleh bayi yang biasanya terjadi di sekitar punggung bayi. Kemerahan pada bahagian kulit memberi rasa pedih pada bayi. Longgarkan pemakaian lampin pakai buang atau gunakan ubat anti ruam. Bayi saya tiada masalah ruam kerana menggunakan Basic H yang dicampurkan dalam air mandiannya. Kerap juga tukar lampin pada waktu malam. Bayi rasa selesa dan tidur lena.

3 . Kolik adalah masalah kembung perut yang membuatkan bayi meragam dan tidak tidur lena. tidur secara meniarap di samping sapu ubat khas di bahagian perut.

4 . Elakkan bilik dalam keadaan panas dan terlalu sejuk. Pakaikan pakaian tidur yang nipis. Bayi adakalanya terjaya waktu malam kerana kepanasan. Suhu bilik adalah terbaik untuk bayi tidur lena.

5 . Suhu badan bayi melebihi 39 darjah celcius, bayi demam dan mudah terjaga waktu malam. Berikan ubat demam dan sejukkan badannya dengan membasahkan kain dan lap seluruh anggota badannya. Pakaikan baju nipis. Jika suhu badan masih tinggi segara dapatkan rawatan doktor.

6 . Batuk membuatkan bayi mudah terjaga. Pastikan bilik tidak terlalu sejuk dan beri ubat batuk khas untuk bayi, ia membantu bayi tidur lena. Pastikan juga bilik bersih dari habuk kotoran.

7 . Gusi bengkak, tanda gigi akan tumbuh. Rasa tidak selesa, menyukarkan tidur bayi. Berikan teether tang telah disejukkan dalam peti ais. Bayi akan rasa nyaman dan ketidakselesaan makin berkurang. 

8 . Jadikan waktu tidur rutin setiap hari. Bayi akan secara tidak langsung tahu akan waktu tidurnya. Dia akan tidur dengan sendirinya apabila sampai waktunya.

9 . Bilik gelap, suhu bilik dan senyap membantu bayi tidur dengan cepat. Lakukan setiap kali bayi mahu tidur. Bayi yang mendapat tidur yang cukup akan kelihatan segar dan aktif.

10. Posisi bayi tidur secara telentang mengelakkan risiko sindrom kematian mengejut. Cara ini membantu bayi tidur lena.

11.Tidurkan bayi di tempat yang sama. Secara psikologinya bayi akan tahu bahawa itu adalah tempat tidurnya.

12. Elakkan bermain di tempat tidurnya. Katakan padanya disitu bukan tempat bermain. Sediakan satu tempat untuk dia bermain.

13. Nyanyikan lagu atau muzik kegemarannya dengan perlahan supaya dia dapat tidur dengan sendirinya. Jangan terlalu mendesak.

14. Secara tradisional, tungku juga boleh digunakan untuk sakit perut bayi yang boleh menganggu tidurnya. Tungku secara perlahan di sekitar perut bayi. Gunakan tungu yang kecil.

15. Ketika tidurkan bayi, dekatkan diri anda dengan bayi. Tepuk dan gosok belakangnya secara lembut.Bayi anda akan rasa selamat. Lakukan gerakan yang sama sehingga bayi anda tidur.

16. Mandikan bayi dengan air suam. Bayi akan berasa nyaman dan segar dengan haruman wangian mandian. Siapkan bayi anda, seterusnya berikan makanan berkhasiat dan susu sebelum tidur.

17. Lakukan urutan di seluruh badan bayi. Minyak zaitun atau losyen boleh digunakan. Digalakan dilakukan selepas mandi dan lakukan secara konsisten.

18. Jika bayi terjaga waktu malam, redakan tangisannya. Segara lihat lampin perlu ditukar atau bayi berasa panas atau sejuk. Jangan bercakap ataupun membuka lampu.

19. Bayi menangis dengan tiba-tiba walaupun baru setengan jam tidur. Baring bersebelahan dan pastikan ia tidur semula

20.Dukung sambil berjalan dan dodoikan akan menyelesaikan masalah bayi menagis diwaktu malam.Tetapi jangan selalu lakukan demikian.Boleh dilakukan apabila terdesak ataupun bayi demam.

21. Bau aromaterapi di seluruh bilik membuatkan rasa nyaman dan perasaan tenang pada bayi.

22. Gunakan selimut kapas yang tidak terlalu tebal untuk bayi. Selimut yang tebal membuatkan bayi berpeluh dan terjaga pada waktu malam.

23. Jika anda kaki tv pastikan bunyi tv dan muzik tidak menganggu tidur bayi. Bayi begitu sensitif pada bunyi jika ia tidak dapat tidur.

24. Jika bayi pramatang pula, baju yang berlengan panjang, seluar berkaki dan topi perlu dipakai ketika tidur. Bayi ini sangat sensitif dengan persekitarannya yang sejuk dan mudah dijangkiti penyakit.

25. Jika perlu, anda dan pasangan anda turut sama tidur bersama-sama bayi. Bau badan ibu dan bapanya membuatkan bayi tahu keadaan sekelilingnyaselamat dan usah bimbang.

26. Belajar tanda bayi mahu tidur.Selalu tanda letih seperti menggosok mata, tarik telinga dan meragam. Jika ada, segera bawa ke katil. Dia akan menjadi bartambah letih dan sukar tidur jika gagal berbuat demikian.

27. Buat mood untuk bayi faham waktu tidur hampir tiba denagn memandikannya, membaca buku, membuaikannya atau mendodoikannya.

28. Penghawa dingin yang dipasang di dalam bilik tidur dikatakan membantu bayi tidur dengan lena.

29. Bawa bayi anda ke katil waktu dia sedar dan beri masa untuk dia tidur dengan sendirinya. Selalunya antara enam sehingga lapan minggu usianya cara ini boleh digunakan. 

30. Alat permainan tergantung yang berpusing juga membantu bayi tidur dengan mudah. Sesuai untuk bayi baru lahir.

31. Lalukan aktiviti permainan di atas katil secara tetap sebelum tidur. Jangan terlalu lama. Kemudian ajak bayi tidur.

32. Ubah posisi tidur bayi jika terjaga di tengah malam. Mungkin bayi sukar menggerakkan badannya lalu menangis. Pastika ia memberi keselesaan pada si manja.

33. Hiduk bayi yang tersumbat akibat selsema menggangu pernafasannya. Bantal yang tinggi diperlukan supaya hidung dapat bernafas dengan baik.

34. Tilam yang empuk yang diperbuat dari getah asli adalah pilihan yang terbaik. Ia menggalakkan bayi tidur lena.

35. Bilik yang bersih memberi kesan psikologi yang baik pada bayi.

36. Dakapan yang penuh dengan kasih sayang perlu dilakukan dengan kerap akan membuatkan bayi berasa dirinya dihargai.

37. Katil yang kuat dan selesa dan tilam khas digunakan untuk membantu bayi tidur dengan lena.

38. Galakan aktiviti di sianga hari separti barmain, bercakap atau menyaikan lagu. Ia membantu bayi tidur lebih diwaktu malam.

39. Dekorasi bilik tidurnya yang menarik juga membantu bayi suka akan tempat tidurnya.

40. Jika bayi menangis diwaktu malam dan tidur kembali mungkin ia tidak selesa dengan posisi tidurnya. Tenangkan ia sehingga ia tidur kembali.

Sumber: Blog permatacintaku

Terima kasih kerana sudi membaca. Datang lagi :)

Saturday, March 29, 2014

10 pesanan untuk ibu bapa

Teks: Natrah Mohamed
Untuk para ibubapa tersayang.
Ini 10 tips dari Prof Muhaya Mohamad.

Untuk mendidik anak-anak, ia bermula dengan mendidik diri kita sendiri.

1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat "iyyakanakbudu waiyyakanastain" - yang ertinya "Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMU pohon pertolongan..", mintalah apa-apa hajat masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang Kita ingat tu, habiskan bacaan surah Al Fatihah doakan semuga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanafaat Dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.

2. Pandang wajahnya semasa dia tidur ucapkan bahawa, ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang!. Cubalah amalkan ( ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya ) Dan ucapan ini adalah DOA Dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.

3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya Kita solat dalam bilik dia Dan dekat dengan dia. Jika Kita selalu buat Dan Kita juga selalu beritahu dia yang Kita sering doakan dia, dia akan rasa satu ikatan kasih sayang yang hakiki yang Kita amat sayangkan dia dan nak dia jadi anak soleh.Dia akan tahu Kita selalu solat hajat untuknya.

4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita ni sedang menunggu panggilan Allah. Jika Dia tak jadi anak soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di Alam Barzah nanti.

5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana Kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.

6. Maafkan anak Kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati Kita.Muhasabbah diri mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita dimasa lampau.

7. Yang paling penting jaga tutur kata Kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita TER.. kata, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk Kita minta maaf padanya. Mengakulah padanya itu kelemahan Kita, Kita marah kerana dia buat salah,bukan bermaksud membenci.Ceritalah buat macam dramapun boleh .

8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya Kita,anak Dan zuriat keturunan Kita termasuk dalam golongan orang2 yang tetap mendirikan Solat. [Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.]

9. Selalu ingatkan anak bahawa tak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta hafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia.Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.

10. Masa basuh beras niatkan "Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku sebut nama dia.....untuk faham agamanya ", [kenapa Kita nak dia faham agama, kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibubapanya juga ke neraka] sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi ". Basuh beras lawan jam ( macam org tawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad S.A.W. Masa buat kerja ini hati jangan lalai..dan ingat kepada Allah selalu.

Oleh: Prof. Dr. Muhaya
Posted via Blogaway

Friday, March 28, 2014

Cara mengehad masa anak tengok TV

Teks: Natrah Mohamed

Semasa saya bujang dulu, saya pernah berangan, jika ada anak, mahu peruntukkan 1 jam saja dalam sehari untuk mereka tengok tv. 

Kenapa berangan begitu? Hahaha.
Ini kisahnya.

Saya pernah jadi guru tadika, tinggal di tadika itu. Jiran sebelah (Cina muslim + Arab) pernah meminta saya tolong jaga anak2 mereka di hujung minggu kerana mereka terpaksa keluar seharian atas urusan penting. Anak-anak mereka waktu itu darjah 4, darjah 2, 5 tahun dan 7 bulan. Saya ambil amanah itu. Hujung minggu, tiada apa yang dilakukan.


Sewaktu melangkah masuk ke rumah mereka, tiada tv yang dibuka. Baby sedang tidur, saya hanya perlu panaskan makanan yang sudah dimasak ibunya. Anak yang sulung (darjah 4) sedang menggosok baju, yang ke 2 (darjah 2) melipat baju2 yang digosok kakaknya. Pertama kali saya lihat orang menggosok baju yang baru diangkat dari jemuran. 


Saya tanya, kenapa perlu gosok semua baju? Walaupun t-shirt, seluar dan kain yang dipakai dalam rumah.
Jawab mereka, supaya cantik dan senang apabila nak pakai.


Mereka gosok dan lipat 1 bakul pakaian. Sambil diiringi dengan pergaduhan kecil.
"Kamu lipat senget tu, betulkan." Tegur sang kakak.
"Tengok ni, baju ni gosokannya tak kemas." Adik menegur si kakak.
Saya tersenyum lebar.

Siap menggosok, mereka menyiapkan kerja sekolah. Saya membantu mereka kerana saya juga mengajar tuisyen 2 kali seminggu kepada mereka,

Selepas zohor, masa untuk tengok TV. Mereka bersedia di sofa, remote control di tangan kakak. Tapi adik bongsu belum bersedia. Kakak2 menanti dengan penuh sabar. 


Apabila semua sudah berkumpul, suis tv dibuka. 15 minit menonton rancangan tersebut (saya sudah lupa apa rancangannya), adik yang berumur 5 tahun mula mendesak untuk tengok rancangan lain. Tidak sesuai dengan jiwanya kot. 


TV dimatikan dan kakak sulung telefon ummi mereka. Minta izin untuk tengok rancangan lain yang digemari si adik. Itupun selepas bergaduh dan bertarik2 rambut. Hehehe. Bahasa Melayu + Arab + Cina. Saya ternganga! 


Mereka bercakap dengan si ummi dalam bahasa Arab.
Selepas dapat keizinan, TV dibuka semula. Sambung tengok rancangan yang si adik mahukan.
Selepas sejam, TV ditutup! 


Mereka buka permainan2 Saidina (billioner), catur, Shahiba dan mula bermain. Pastinya diselangi dengan insiden pergaduhan kecil antara mereka dan tangisan adik berusia 5 tahun.

Itu kisah hampir 7 tahun lepas. tahun 2008.
Ibu bapa mereka peruntukkan 1 jam sehari untuk menonton TV. Masa lain? Bermain dan melompat. 


Saya bertanya, ummi dan abi menonton TV tak
?

"Abi sibuk dengan kerja dan urusan persatuan, NGO. Tiada masa untuk TV." (Waktu itu, abi mereka adalah Naib Pengerusi MACMA)

"Ummi tengok rancangan berbahasa Arab. Kami boleh menumpang tengok juga. Ummi suruh kami tengok supaya fasih berbahasa Arab."


InsyaAllah, anak-anak ini sudah besar sekarang. Sudah jadi anak dara yang cantik dan comel agaknya. Dan saya pasti, cantik dan comel juga akhlak mereka seperti yang dicorak oleh ibubapanya.

Bagi saya, cara untuk didik anak-anak mengikut peraturan di rumah adalah, ibu dan ayah yang sepatutnya ikut peraturan tersebut terlebih dahulu. 
Contohnya mahukan anak menonton TV 1 jam sahaja sehari. Ya, ibu ayah juga hadkan diri sendiri menonton 1 jam sahaja. Tunjuk contoh untuk anak ikuti.

Ia juga perlu bermula sejak kecil. Sejak anak masih boleh mengikut setiap arahan dan peraturan. Bermula dengan anak sulung. Anak sulung bakal mendidik adik-adiknya pula. Pemerhatian saya, jiran saya tersebut menyerahkan kepercayaan dan amanah kepada anak sulung. Jadi, anak itu bertindak sebagai ketua dan merasa tanggungjawabnya memastikan adik-adik mengikut peraturan.




Di rumah saya, tiada peti TV setakat ini. Saya akan kongsikan dalam posting yang lain mengapa kami tegar tiada TV di rumah. InsyaAllah.

Jangan lupa datang lagi ;)

Thursday, March 27, 2014

Cara selesaikan masalah anak tidak mahu bangun pagi

Teks: Natrah Mohamed

Saya menjaga kedua-dua anak di rumah. Setiap pagi tiada masalah untuk mengejutkan dari tidur untuk menghantar mereka ke taska atau pengasuh. Alhamdulillah, syukur. 

Tapi saya tahu, ramai yang hadapi masalah ini. Sukar menguruskan anak-anak di awal pagi.

Persoalan ini saya jumpa di wall FB Prof Dr. Rozieta Shaary. Tentang cara atasi anak yang tidak mahu bangun pagi dan tidak mahu taska. Tetapi apabila sudah ke taska, terus berubah jadi gembira dan riang bermain bersama kawan. Anak yang berusia 4 tahun sukar diuruskan waktu awal pagi, tidak mahu mandi dan pakai pakaian taskanya.


Jawapan oleh Prof Dr Rozieta seperti berikut:

Menghantar ke Taska itu adalah rutin baru dimana dia kena bangun pagi. Apa kata puan kaji sleep pattern dia dan suaikan dengan rutin baru supaya dia lebih senang bangun pagi. Anak yang 'night person', memang akan meragam bila kena bangun pagi. Oleh itu, kita perlu berlembut semasa membangunkan mereka dan semasa memperkenalkan rutin kena bangun pagi itu. Pastikan dia tidur awal. Itu akan membantu.

Selain itu sebelum tidur, bercerita dengannya akan betapa seronoknya esok bila nak jumpa kawan-kawan. Setiap hari cipta sesuatu bersamannya yang dia akan menyebabkan dia 'look forward' - teruja untuk ke taska. Contoh, you beli muffin untuk dia berkongsi dengan kawan-kawannya dsb. Something that he will look forward to. )Sesuatu yang dia tidak sabar untuk ke Taska). Jadi, dia yang akan bangun pagi tanpa dikejutkan atau bila kejutkan, puan boleh ingatkan dia 'surprise' yang dia hendak bawa ke taska hari itu.

Semoga idea ini membantu.


Selamat menguruskan anak :)

Cara buat belon menggunakan sabun


Cara buat ini, saya tengok dalam majalah PAMA.

Bahan-bahan:
2 3 sudu sabun basuh pinggan
1 gelas air.
1 sudu gula.

Owh, rupanya kena tambah gula.
Rupanya kena letak gula dan kacau dalam air sabun, barulah terhasil gelembung2 buih yang besar dan mengujakan.

Sebelum ini pernah buat air sabun saja. Tanpa gula. Tidak terhasil gelembung2 buih itu. 

Masukkan air sabun ke dalam pistol atau botol.
 
Kalau tiada pistol, boleh buat sendiri untuk hasilkan gelembung buih.

Gunakan dawai yang kecil, bentukkan bulat dan lilit dengan salotape sekeliling bahagian bulat. Pastikan ada bahagian pemegangnya. :)

Selamat mencuba.




Tangan kecil Nasih sedang mengacau buih untuk menghasilkan belon.

Tuesday, March 25, 2014

Cara membiasakan anak bersolat

"Prof, saya jaga cucu-cucu saya sewaktu mak ayah mereka berkerja. Mereka berumur 10, 12 tahun. Tapi, mereka cukup liat untuk bersolat. Sudah berkali-kali saya menyuruh mereka solat. Tapi sangat susah untuk mereka mengerjakannya. Adakah perlu dipukul?"

Beginilah lebih kurang soalan yang saya dengar dalam radio IKIM.fm oleh seorang nenek. Soalan ditujukan kepada Prof Muhaya. Dalam slot Islam Itu Indah, setiap hari rabu jam 10 pagi.

Jawapan Prof Muhaya lebih kurang begini:
Puan, anak-anak ini ikut perlakuan kita dan apa yang mereka nampak. Adakah puan, masuk waktu solat, cepat-cepat ambil wuduk, bentang sejadah, pakai telekung, solat sendirian dalam bilik? Pintu bilik ditutup. Selepas solat, suruh cucu-cucu pergi bersolat?

Jika ya jawapan oleh puan yang bertanya soalan itu, ia menandakan dia tidak menunjukkan perlakuan bersolat kepada cucu-cucunya. Dia hanya menyuruh tanpa memberi contoh.

Prof Muhaya menambah:
Puan sepatutnya, solat bersama mereka. Ambil wuduk dan tunggu mereka bersolat bersama.
"Selagi cucu-cucu tidak ikut solat belakang nenek, nenek tak akan solat." Ha, guna ayat ugutan macam ini. Takkan cucu-cucu nak biar nenek menunggu lama-lama atas sejadah.

Slot Islam itu Indah di radio IKIM.fm sudah lama saya ikuti. Alhamdulillah, tips ini sangat berguna. Walaupun saya masih belum mengugut anak gaya begini. Hihihi.

Namun saya pastikan, setiap waktu solat, saya akan solat berhampiran anak-anak. Di mana mereka berada, di situ saya solat. Tiada bilik atau ruang khas untuk solat. Saya solat di ruang tamu, tepi katil tempat anak-anak tidur, atau seboleh mungkin tempat yang anak-anak saya nampak perbuatan tersebut.




Sebelum solat, saya akan cakap, "Amad, mama nak sembahyang ni, jom sembahyang sama-sama."

Nasih, 4 tahun, biasanya ikut saya solat. Kadang-kadang habis 4 rakaat. Kadang-kadang 1 rakaat. Kadang-kadang mendahului imamnya iaitu saya. Kadang-kadang dia yang jadi 'imam'. Saya ikutkan saja rentaknya. Tiada paksaan. Hanya ajakan. Sambil menerangkan, berapa rakaat yang perlu dibuat.

Selepas solat, saya memuji dia. Melambung ke langit perbuatannya bersolat walaupun hanya 1 rakaat setengah.
Suami balik dari kerja, saya akan bercerita tentang dia solat, di hadapan Ahmad Nasih sendiri. Suami akan memuji-muji ke langit juga. Ahmad Nasih tersenyum sampai telinga dan melompat riang macam tak cukup tanah.

Sunday, March 23, 2014

Nasih dan kek

Isnin lepas, Nasih membelek buku -buku kuningnya, saya menghadap laptop. Saya kurang perhati apa buku yang dibacanya.
Tiba-tiba dia meluru ke dapur dan membawa keluar lilin dari laci dapur. 
"Mama, boleh tak Amad nak letak lilin atas kek? Lepas tu tiup lilin, nyanyi happy besday." Nasih tunjukkan 6 batang lilin yang dikeluarkan dari kotak.

Saya memang tergelak dalam hati.

"Amad, lilin ni untuk pasang masa tiada elektrik. Bukan untuk letak atas kek. Yang letak atas kek tu yang kecil saja."

"Oooh, nanti mama tolong beli lilin kecil ye. Amad nak nyanyi happy besday, tiup lilin." Ahmad Nasih jawab. Tanda paham.

Inilah anak yang tak pernah sambut hari lahir. Bukan setakat sambut, ucapan selamat hari lahir pun tidak.

Malam esoknya, dia minta kek.

"Mama, boleh tak Amad nak kek?"

"Ok, cakap kat papa."

Saya sudah hantar WhatsApp kepada papanya yang berada di masjid. Nasih guna kan voice message pula. Kalau tak papanya tak percaya itu permintaan anaknya.
" Papa, boleh tak Amad nak kek? Tolong beli kan kek untuk Amad."

Balik dari masjid, papanya belikan kek.
Kek apa?
Kek pandan gulung. Harga RM3.50.
Cukuplah.
Ramai lagi anak-anak yang tidak cukup makan.

Saturday, March 22, 2014

Nasih dan peringatan mama

Malam tadi, saya berada dalam mesyuarat. Kedua2 anak lelaki ikut bersama. 

Nasih setia berada di sisi saya sampai habis mesyuarat. Walaupun saya berkali-kali menyuruh dia pergi bermain dengan 4 lagi kanak-kanak riang dalam bilik mesyuarat tersebut. Hati saya tidak senang, saya rasa sangat pelik. Kenapa anak lelaki ini tidak mahu bergaul dan melompat bersama yang lain?
?
Saya risau jika anak saya tidak mahu bergaul dengan orang.

Akhirnya pagi ini saya jumpa jawapannya.
Sebenarnya, setiap kali ke masjid Hasanah, dia sangat riang gembira. Samada untuk bersolat, mesyuarat atau usrah.
Malam tadi beria mahu ikut saya. Dia capai buku Berfikir Gaya Al-fatih dan ikut saya. Fikirannya dah di setting untuk ke usrah mama.

Dalam kereta, saya bagi peringatan,
"Ahmad boleh ikut mama pergi usrah, meeting, tapi kena..."
" Kena duduk diam-diam ye mama?" Nasih sambung ayat saya sebelum saya sempat habiskan.
" Ya, duduk diam-diam, tak boleh melompat dan dengar apa ustazah cakap. Nanti balik nanti boleh cerita dekat papa. Usrah tempat untuk belajar. Bukan untuk bermain."

Nasih mengangguk dan diam saja.
Sampai di masjid, dia dengan tegas mahu ikut saya masuk ke mesyuarat, tidak mahu ikut papanya hantar barang.
Sebenarnya ada usrah juga di bilik bersebelahan. Saya memilih yang lebih awla'.
Saya akur membawa 2 hero ke mesyuarat. Walaupun sangat risau untuk kawal mereka terutama Nasih.

Tapi, Nasih sangat baik malam tadi. Dia akur peringatan saya dalam kereta.
Tidak melompat, buat bising dan tidak menyertai kanak-kanak riang yang lain.

Dia setia dengan buku "Al-Fatih" yang dibeli semasa usrah minggu lepas.

Friday, March 21, 2014

Tips untuk hamil

Dr Zubaidi Ahmad menulis:
BAGI WANITA YANG SUKAR HAMIL DAN TELAH MENJALANKAN PEMERIKSAAN, DAN MENDAPATI NORMAL...

Saya mencadangkan agar iIstiqamah mengamalkan suplemen, kurangkan makanan berlemak, dan tinggi karbohidrate (eg kek) dan minum bergas, insha ALLAH dipermudahkan untuk hamil. 

Rajin solat hajat dan bersedekah...

Ramai pesakit saya yang meninggalkan makan berlemak dan tinggi karbohidrate dan minuman gas telah berjaya hamil.

Banyakkan sedekah.
Ini pengalaman saya. Sewaktu awal-awal berkahwin, saya amalkan ini. Begitu juga sewaktu anak suung sudah mencecah 2 tahun lebih.

Apabila pergi solat di masjid atau surau mana-mana. Doa minta Allah kurniakan zuriat, lepas tu masukkan duit sedekah dalam tabung dan niat dengan sedekah itu Allah bantu permudahkan dapat anak.
Alhamdulillah.

Tuesday, March 18, 2014

Tentang Kami

Teks: Natrah Mohamed Salam perkenalan. Saya Natrah Mohamed. Seorang suri rumah dan ibu kepada dua anak lelaki. Suami saya berkerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Kuala Lumpur. Kami memilih tinggal di Bangi. Kami berdua graduan UKM. Sejak bila saya bergelar suri rumah? Sejak saya berkahwin, saya berada di rumah. Waktu itu fokus mengedit tesis Sarjana. Suami dengan senang hati dan berharap saya terus menjadi suri rumah. Maklumlah, dia dibesarkan oleh seorang ibu yang juga suri rumah. Beberapa bulan selepas berkahwin, majikan saya sebelum ini, seorang pengetua tadika menghubungi untuk mengajak saya berkerja di tadikanya. Oh ya, sebelum berkahwin, saya pernah berkerja sebagai pembantu taska. Saya berhenti beberapa bulan sebelum berkahwin dan juga kerana perlu fokus menyiapkan penulisan tesis yang tertangguh. Oleh kerana kasihan kepada bekas majikan yang agak terdesak memerlukan pembantu taska, saya menerima pelawaan kembali berkerja di taskanya. Beberapa bulan saya sempat berkerja di taska tersebut dan berhenti ketika saya mengandung hampir 5 bulan. Faktor utama saya berhenti, kerana mahu fokus kepada kerja-kerja akhir pengeditan tesis. Selepas melahirkan anak pertama pada Jun 2010, saya kekal berada di rumah. Setiap hari setia melayari internet dan mencari peluang berkerja dari rumah. Awal 2011 saya mula bergiat sebagai seorang ejen takaful. eTiQa Takaful. Niat saya mahu membantu sahabat-sahabat sekeliling yang memang sangat kurang kefahaman tentang perlindungan takaful. Ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekeliling ramai yang menyertai. Tapi cabarannya adalah mereka kurang konsisten membayar setiap bulan. Berlaku tunggakan dan akhirnya mereka tarik diri. Saya tiada daya memujuk. Sepanjang berada di rumah, tanpa keluar berkerja seperti graduan master yang lain, tidak sedikit nasihat-nasihat percuma yang saya terima. Keluarga terdekat yang terlalu prihatin tentang segulung ijazah yang saya terima, soalan-soalan dari jiran yang bertanya, "Bila mahu berkerja?" " Kenapa tak kerja?" Apa alasan saya tidak berkerja? Sebab utama, kerana mahu melihat anak membesar di hadapan mata sendiri. Mengasuh dan memberi pendidikan awal mengikut cara saya fahami hasil dari kursus-kursus dan bahan bacaan. Hasrat saya disambut baik oleh suami, Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan suami, Ahmad Sofiyuddin yang menyokong apa saja tindakan saya. Kini 2014, saya masih setia berada di rumah. Menjaga 2 anak lelaki yang cergas dan sihat. Kurniaan Allah yang sangat disyukuri kerana memberi peluang saya melihat mereka membesar di depan mata. Di samping menjaga mereka, saya mula bergiat dengan bisnes Shaklee. Produk-produk makanan kesihatan keluaran Shaklee yang telah membantu saya cergas dan sihat sejak dari mengandungkan anak kedua sehingga sekarang. Saya ingin kongsikan kebaikan dan khasiatnya kepada orang ramai. InsyaAllah, dari masa ke semasa saya akan kongsikan dalam blog ini, panduan menjaga anak di rumah. Dua orang hero, kerja-kerja rumah dan kerja kemasyarakatan yang saya sertai, serta bisnes Shaklee. Semuanya dari rumah. Moga ia bermanfaat buat semua. Terima kasih sudi menjenguk di sini. Jemput datang lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KENALI SHAKLEE

 photo KENALISHAKLEE_zpsjhrkr5w4.jpg
 photo PRODUKSHAKLEE_zpslwr9bj4b.jpg
 photo CADANGANVITAMIN_zps9fostmqa.jpg
 photo SERTAIKELUARGAKAMI_zpsnwpjxnay.jpg
 photo PENGEDARSHAKLEE_zpsu3sbu1d3.jpg
 photo CAWANGAN SHAKLEE_zpsbm1dxcgx.jpg

Pengunjung

Designed by NH Design